Hakikatnya, aku tak cukup layak untuk menceritakan tentang keinginan seorang bapa, sebab.... sebab aku bukan seorang bapa (Yay! Tahniah! Tahniah! Belum ada perempuan yang mengaku mengandungkan anak aku setakat ini!).......ok. Gurauan.
Jadi, apa keinginan seorang bapa? Sebenarnya, banyak keinginan seorang bapa, lebih-lebih lagi yang melibatkan ANAK-ANAK, macam....
"Saya nak tengok anak saya berjaya!"
Itu ayat yang biasa kita dengar (atau kita terpaksa dengar dek motivasi pagi oleh cikgu-cikgu sekolah rendah mahupun menengah pada setiap hari isnin pukul 7.30 pagi). Ayat yang kita perlu percaya kebenarannya. Ayat yang kita perlu jadikan semangat UNTUK BELAJAR RAJIN-RAJIN DAN MENJADI INSAN YANG BERJAYA PADA MASA AKAN DATANG! HUH!
Berdasarkan pemerhatian aku pulak, ada satu keinginan bapa (keinginan di sini boleh berubah mengikut geografi, bergantung) yang aku perasan dan rasakan penting. Pemerhatian ini dibuat merujuk kepada tingkah laku papa aku sendiri. Tingkah laku sehari-hari. Tingkah laku yang aku rasakan biasa (memandangkan aku laluinya setiap hari, tingkah laku yang aku cenderung untuk tidak meletakkan nilai yang tinggi padanya) iaitu....
MAKAN BERSAMA-SAMA
Papa ada satu tabiat. Apabila sampai waktu makan (seperti sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam mahupun eh-ada-buah-anggur-dalam-peti-sejuk-apa-kata-kita-makan-sambil-tengok-tv) dia akan, dan dengan usaha, memanggil seluruh ahli keluarga untuk turut bersama. Benda sehari-hari, bukan? Benda yang aku (sebelum ini) pandang remeh. Tak aku ketahui sebelum ini, bahawasanya, benda ini merupakan satu perkara yang AGAK BERMAKNA untuk papa aku, benda yang mampu menjadi salah satu ketakutan yang besar bagi dia kalau tidak diamalkan. Ketakutan..... untuk makan berseorangan.
Jadi, papa aku ada ketakutan untuk makan berseorangan? Apa mahu dikecohkan? Tak. Perlu diambil berat. Mungkin ketakutan ini timbul sebab pemikiran yang terhasil apabila melihat PERKARA YANG SELAMA INI DIJAGANYA DENGAN RAPI TAK LAGI MAHU BERDAMPING DENGANNYA. KETAKUTAN BAHAWA MUNGKIN KE"SENDIRI"AN INI AKAN BERLARUTAN. Mungkin.
Seperti aku kata, tak aku ketahui sebelum ini, bahawa makan bersama-sama ini merupakan sesuatu perkara yang BERMAKNA untuk papa aku, sehinggalah aku dihadapkan dengan satu peristiwa. Peristiwa Ais Krim 14 Oktober.
Satu hari, abang tiri aku pulang daripada kedai, membawa ais krim. Setiap ahli keluarga mendapat aiskrim (termasuk aku) dan apabila aku hitung, sebenarnya ais krim tak cukup satu untuk papa (ops, aku dah terkoyakkan bungkusan ais krim terakhir). Sedang ahli keluarga lain makan ais krim sambil tonton tv, aku pergi makan ais krim di luar pintu hadapan rumah (berseorangan, sebab aku takut kalau-kalau ada cebisan ais krim terjatuh ke lantai) dan kebetulan terjumpa papa aku. Rasa bersalah, aku cuba tawarkan dia ais krim aku dan dia menolak. Jadi, aku pun cubalah makan tanpa segan silu dan rasa bersalah memikirkan yang dia tak mungkin kecil hati, dia dah lebih dewasa berbanding aku. Dan, sampai satu saat, papa menghidupkan enjin motor. Menyusur jalan menaiki motor. Setelah HAMPIR 15 MINIT menghilang, dia pulang. Pulang ke rumah menaiki motor..... dan sambil membawa satu bungkusan. Bungkusan ais krim. Bungkusan SATU aiskrim. Jenama yang sama abang tiri aku beli. Untuk dia seorang makan. Aku tak tau apa reaksi kalian yang mungkin kalau benda seperti ini terjadi pada kalian, tapi untuk aku, pada saat itu, hati aku terdetik
MUNGKIN DIA TAK NAK RASA "TERKECUALI"
MUNGKIN DIA "CEMBURU" MELIHAT ORANG LAIN MAKAN
dan
MUNGKIN, DIA CUMA NAK "MAKAN BERSAMA-SAMA"?
........................................................................................................
Jadi, jangan pandang remeh akan tabiat ibu bapa kita apabila bersama kita sehari-hari. Mungkin tak bermakna bagi kita, tapi jauh di sudut mereka, mereka ingin mengekalkannya, dan mungkin menjadi impian mereka, walaupun sehingga kita sudah berkeluarga. Percayalah.
No comments:
Post a Comment